TELUK INTAN: Penderitaan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan menghidap jantung berlubang dan masalah paru-paru yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil memberikan sumbangan dan bantuan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Teluk Intan antara yang menziarahi dan membantu bayi itu, Nurul Naira Media Mohamad Azki Fakri yang hanya terlantar di rumah akibat penyakit tersebut sejak dikesan pada usia empat bulan.
Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM, S. Selva Ratnam berkata, pihaknya mengambil langkah segera melawat bayi itu di Kampung Bahagia di sini.
Menurutnya, bayi itu layak menerima bantuan melalui skim bantuan pesakit terlantar mula bulan depan.
“Bantuan pesakit terlantar akan mula di salurkan pada bulan depan sebanyak RM500 atas nama penjaga dan kami juga memberikan bantuan segera sebanyak RM300 untuk membeli susu yang diperlukan oleh bayi itu,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pegawai Baitulmal Daerah Teluk Intan, Johar Zainal Abidin berkata, permohonan bantuan untuk bayi itu sedang diproses dan masih menunggu kelulusan dari pihak Hospital Teluk Intan untuk susu khas iaitu Enfalac.
“Kami juga masih menunggu kelulusan untuk keperluan mesin oksigen dan tindakan awal bantuan segera diberikan RM500 diberikan kepada bayi tersebut,” katanya.
Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Nurul Azura Bakarudin, 28, mengucapkan terima kasih kepada JKM, Baitulmal dan pihak serta orang ramai yang bersimpati terhadap bayi mereka selain memberikan sumbangan.-UTUSAN