KUALA LUMPUR: Gara-gara memiliki tubuh berisi, pelakon, Bella Dowana mengakui, sering menjadi mangsa body shamming, baik secara berdepan mahupun menerusi komen di media sosial.
Kata Bella, lebih menyedihkan apabila sendaan itu bukan sahaja diterima daripada netizen, malah rakan artis turut melakukan perbuatan sama.
“Saya sudah banyak kali jadi mangsa, malah sampai sekarang, isu fizikal saya terus jadi bahan sendaan. Lebih-lebih lagi apabila berat badan bertambah dan pipi semakin naik.
“Selalunya mereka akan melakukannya dalam bentuk gurauan. Mereka tanpa raaa bersalah bergurau mengenai silu perubahan susuk tubuh saya. Ia bukan sahaja datang daripada netizen, malah rakan artis juga ada yang mempersenda fizikal saya.
“Sedih sebenarnya sebab mereka tidak sensitif dengan isu begini. Mereka tidak tahu biarpun dilakukan secara gurauan, perbuatan itu sebenarnya menyakitkan hati,” luah pelakon Legenda Puteri Qaseh itu.
Justeru kata Bella, dia berazam untuk menurunkan berat badan bagi mengelakkan daripada terus menjadi mangsa body shamming.
“Harapan saya, tahun ini dapat turunkan berat badan untuk ketenangan diri dan tidak lagi jadi sasaran ejekan mata yang memandang.
“Sebenarnya, teguran dan ejekan yang dilemparkan itu membakar semangat saya untuk menurukan berat badan. Tahun ini, perkara itu jadi keutamaan,” jelasnya.