DUNGUN : Pencarian seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika menjala ikan di Sungai Hulu Paka, dekat sini, semalam berakhir selepas mayatnya ditemukan di sungai tersebut, petang ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mayat Muhammad Zuhaily Roslan, 21, yang berasal dari Kampung Gong Gemia, Paka, di sini, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 2.15 petang.
“Selepas hampir 24 jam mangsa dipercayai lemas, mayatnya berjaya ditemukan pada kedalaman lima meter dengan jarak kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dipercayai tergelincir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, Muhammad Zuhaily yang merupakan pelajar di Kolej Komuniti Kuala Pilah, Negeri Sembilan sedang menghabiskan cuti semesternya, keluar menjala bersama rakannya, Zul Qarnain Za’im, 21, di sungai tersebut.
Kedua-dua mereka tiba-tiba terjerlus dan terjatuh ketika menyeberang sungai tersebut untuk menjala.
Bagaimanapun, Zul Qarnain terselamat selepas berjaya berenang menyelamatkan diri dan cuba mengambil kayu membantu rakannya, namun Muhammad Zuhaily hilang dibawa arus. – UTUSAN