PETALING JAYA: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu melakukan sesuatu supaya masalah psikologi dihadapi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berlarutan dan menjadi lebih kronik khususnya mengeluarkan kenyataan pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu supaya banyak-banyak mengucap dan terima hakikat bahawa PN gagal jadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi.
Beliau juga melahirkan kebimbangan apabila bekas Duta Khas ke Timur Tengah itu semakin hilang kawalan untuk berfikir secara waras sampai menjejaskan imejnya sebagai agamawan.
“Saya syak Presiden Pas mengalami masalah kemurungan politik melampau sebab itulah dia masih duduk, merapu, meroyan dan sibuk nak campur urusan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Dia ini masih tak berhenti-henti bercakap macam masih tak boleh terima takdir Allah.
“Malah seperti biasa, Abdul Hadi cukup popular dengan siri fatwa-fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja. Bila orang buat salah, tapi bila dia buat terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuklah yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepada Abdul Hadi dan Pas.
“Baru saja tiga hari lepas Abdul Hadi keluarkan fatwa baharu. Sogok duit kepada pengundi tak dikira rasuah sebaliknya kalau ikutkan hukum Fikah Haji Hadi, ia dianggap sebagai sedekah. Abdul Hadi menghalalkan wang rasuah undi untuk beli undi dan bukan satu dosa besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Abdul Hadi mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 adalah sedekah.
Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara itu sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.
Dalam pada itu, Nur Jazlan menambah, tindakan Presiden Pas itu bukan satu perkara baharu kerana sering pernah memburukkan parti-parti politik seperti DAP dan PKR meskipun sebelum ini pernah berbaik-baik dalam menjalinkan kerjasama politik.
“Begitu juga dengan UMNO. Selepas PRU14, puji melambung pemimpin-pemimpin UMNO sebab nak bergabung tubuhkan Muafakat Nasional (MN). Malah Abdul Hadi juga pernah beri pujian kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Tapi bila hubungan Pas dan UMNO gagal diteruskan dalam MN, mereka terus bertukar perwatakan. Abdul Hadi sendiri pusing 180 darjah dan mula mencaci serta mencerca UMNO dan pemimpin-pemimpinnya.
“Lepas PRU15, dia kutuk pula UMNO sebab bekerjasama dengan Pakatan Harapan tubuhkan Kerajaan Perpaduan kononnya kerajaan itu tak ikut peraturan Allah dan haram,” katanya.
Sebaliknya, Nur Jazlan menjelaskan, Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya dibentuk bila DAP bersetuju menerima agenda mempertahankan Islam, Melayu dan Institusi Raja yang disyaratkan UMNO manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik ramai menteri dan timbalan menteri dalam kalangan Melayu Islam dalam Kabinet demi menunjukkan kekuatan sejati Melayu Islam di Malaysia.
“DAP juga bertolak ansur untuk terima kuota menteri dan timbalan yang kecil jika dibandingkan dengan jumlah kerusi yang mereka menangi
“Sudah-sudahlah Hadi, buatlah kerja sebagai pembangkang dengan baik dan cuba bantu kerajaan untuk bagi idea lebih baik daripada asyik duduk berpolitik 24 jam,” tegasnya. – UTUSAN