KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu kecewa terhadap pimpinan Pas negeri ini yang tidak kelihatan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Terengganu, semalam.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pihaknya mendapati tiada seorang pun dalam kalangan pemimpin Pas negeri hadir semasa ketibaan atau kepulangan Perdana Menteri.
Malah, menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, exco kerajaan negeri atau wakil rakyat Pas juga tidak kelihatan di lapangan terbang.
“Kerajaan Melayu Islam jenis apakah yang wujud di Terengganu Darul Iman? Inikah budaya dan adat yang patut dicontohi dan dibanggakan oleh rakyat dan generasi muda kita.
“Bukankah ada pepatah Melayu yang berbunyi ‘orang berbudi kita berbahasa’. Bukankah Islam mengajak penganutnya untuk meraikan tetamu yang berkunjung, dengan dilayan dengan baik dan menunjuk pekerti yang indah.
“Kami rakyat Terengganu berasa malu atas sikap pimpinan kerajaan Terengganu hari ini terhadap Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Syarqiyyah, Chedering dan selepas itu, Anwar mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dekat sini.
Sesi menghadap Sultan Mizan itu adalah yang pertama buat Anwar, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, Anwar telah berkali-kali menekankan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan tidak pilih kasih terhadap mana-mana negeri selama ini.
“Bukti Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri untuk semua adalah semasa banjir baru-baru ini apabila beliau memperuntukkan RM100 juta kepada Terengganu dan Kelantan walaupun kedua-dua negeri itu ditadbir oleh Pas.
“Beliau dengan pantas mengumumkan pemberian peruntukan tersebut sebaik sahaja dua negeri itu dilanda musibah banjir walaupun pemimpin-pemimpin dari parti politik yang menerajui negeri berkenaan sering menyerang beliau.
“Pas sebagai parti pembangkang di negara ini sedikit pun tidak menunjukkan sikap mengenang budi terhadap Anwar yang berjiwa besar atau sekurang-kurangnya meraikan tetamu yang berkunjung ke Terengganu,” katanya.
Pada 21 Disember lalu, kunjungan Anwar ke Kelantan telah menerima sambutan baik Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang mengiringinya sepanjang lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menyantuni mangsa banjir. – UTUSAN