KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak kandungnya, dua minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berumur 13 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di daerah Dungun pada 6 Januari 2023 kira-kira pukul 10.15 pagi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh. – UTUSAN