PUTRAJAYA: Isu pemanasan global dan perubahan cuaca ekstrim merupakan antara cabaran masa kini yang cukup dinamik dan mencabar kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, JBPM harus bersiap sedia untuk mendepani cabaran berkenaan dalam mengharungi tahun 2023 ini.
“Cabaran-cabaran itu harus diintegrasikan dalam perancangan pembangunan organisasi dan fasiliti kebombaan.
“Isu pertumbuhan kadar urbanisasi yang progresif ditambah dengan kepesatan pembangunan teknologi termasuk reka bentuk bangunan yang lebih kompleks, kita seharusnya mengkaji, merancang, membangunkan solusi dan langkah-langkah intervensi yang boleh diaplikasikan dan disesuaikan dengan situasi yang kita hadapi di masa depan.
“Mendepani cabaran-cabaran ini Bomba perlu fokus dalam merangka dan secara asasnya melaksanakan segala program dan insiatif yang telah dirangkakan dalam Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2030,” katanya ketika menyampaikan perutusan 2023 sempena Majlis Perbarisan Tahunan 2023 di ibu Pejabat JBPM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, JBPM juga membelanjakan sejumlah RM82.62 juta bagi membuat perolehan, kelengkapan dan kenderaan baharu pada tahun lepas.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan fungsi utama jabatan terutamanya dari aspek operasi kebombaan dan penyelamatan dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen.
“Di samping itu, sut peralatan perlindungan diri (PPE) seperti 2,569 pasang sut pemadam kebakaran, 2,018 pasang but pemadam kebakaran, 1,077 unit helmet pemadam kebakaran, hood dan sarung tangan, telah diperolehi dan dibekalkan kepada anggota seluruh negara,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, sebanyak lapan buah Balai Bomba dan Penyelamat baharu dibina dan beroperasi pada tahun lalu.
Katanya, ia bagi memberi perlindungan keselamatan kebakaran dan teras khidmat kebombaan di kawasan blindspot serta memastikan masa bertindak dalam sesuatu insiden kecemasan dapat dipercepatkan.
“Pada 2022, jabatan berjaya mencapai 66.26 peratus response time di bawah 10 minit iaiatu peningkatan 1.13 peratus berbanding tahun 2021) dengan penurunan Purata Response Time Kebangsaan (NART) sebanyak 0.08 minit kepada 8.46 minit.
“JBPM optimis untuk terus memastikan tahap kecekapan dan keberkesanan pencapaian penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN