PETALING JAYA: Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, kini dibanjiri warna hitam kuning menandakan kedatangan pemain ke-12 Harimau Malaya yang sudah tidak sabar untuk memberi sokongan padu kepada pasukan negara menjelang aksi Malaysia menentang Singapura, sebentar nanti.
Kebanyakan penyokong dilihat mula membanjiri pekarangan gelanggang keramat Harimau Malaya itu sekitar jam 5 petang tadi susulan cuaca hujan dan hari bekerja.
Paling mencuri tumpuan sudah pasti kumpulan Ultras Malaya yang dianggap menjadi nadi penting buat skuad kendalian Kim Pan Gon.
Suasana bertambah gamat dengan dengan Ultras Malaya mula berarak memasuki stadium sambil menyanyikan lagu pembakar semangat buat pasukan negara.
Puluhan ribu penyokong Harimau Malaya dijangka membanjiri Stadium Nasional selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setakat ini mengesahkan sebanyak 56,742 tiket sudah terjual.
Anak buah Pan Gon perlu menang ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B itu untuk melangkah ke separuh akhir.
Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata, manakala Singapura di kedudukan kedua berkongsi tujuh mata bersama pendahulu, Vietnam.-UTUSAN ONLINE