Pelan Transformasi Al-Falah perkasa hal ehwal Islam

Pelan Transformasi Al-Falah perkasa hal ehwal Islam

MOHD Na’im Mokhtar (tengah) bergambar bersama para hadirin selepas Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bakal melaksanakan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau Al-Falah bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pelan berkenaan selaras juga usaha kerajaan menjayakan visi Islam Malaysia sejajar gagasan baharu dasar reformasi negara.

Ia mengandungi sebanyak lima teras selain 10 fokus gerak kerja dan juga lima nilai inisiatif utama yang sesuai serta praktikal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sehingga 2027.

“Pelan gerak kerja bersama ini diterbitkan hasil beberapa proses libat urus pihak Pejabat Menteri dengan ketua-ketua dan wakil dari semua 14 buah agensi hal ehwal Islam,” jelasnya ketika berucap menyampaikan amanat bersempena Perhimpunan Agensi Di Bawah Menteri itu di Kompleks Islam, di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, konsep Madani yang diperkenalkan kepimpinan negara bukan istilah asing malah bersumberkan falsafah kenegaraan menurut ajaran Islam.

“Justeru, Al-Falah merealisasikan gagasan Malaysia Madani dengan digubah berasaskan kepada semangat seruan azan, Hayya ‘alal falah, untuk kita menuju kejayaan,” katanya.

Menerusi pelan transformasi itu, beliau mengajak seluruh warga kerja agensi hal ehwal Islam itu berganding bahu bersama bagi membina semula kegemilangan tamadun ummah.

Beliau merujuk teras pertama Al-Falah yang akan memfokus dua gerak kerja besar iaitu pengislahan dasar tadbir urus institusi serta pemantapan penyelidikan dan persuratan.

Begitu juga empat teras lain iaitu memperkasakan kesejahteraan insan, mengangkat kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta dan memelihara kehormatan institusi.

Mohd. Na’im malah optimis, Al-Falah dapat memastikan segala kemudahan hal ehwal Islam dalam keadaan terbaik sebagai pusat ibadah, tarbiah dan dakwah untuk masyarakat.

“Al-Falah bukan agenda peribadi saya atau sesiapa tetapi ia demi maslahah agama dan negara yang memerlukan dukungan serta iltizam dari seluruh petugas agensi,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya