TANJUNG MALIM: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut manakala empat rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di susur keluar Plaza Tol Behrang di sini hari ini.
Mangsa, M. Yoogavani, 20, beralamat di Sungai Jawi, Pulau Pinang yang juga pemandu kereta jenis Honda City, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, maklumat nahas membabitkan lima pelajar UPSI itu diterima pada pukul 2.55 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati lima sekawan itu dalam perjalanan dari Batu Gajah menghala ke UPSI di Tanjung Malim.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar pokok.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat rakannya mengalami luka-luka dan dirawat di Hospital Slim River,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan berlaku di jalan berselekoh, satu lorong dan satu hala di mana kereta berkenaan remuk teruk di bahagian hadapan sebelah kiri.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat hilang kawalan lalu terlanggar pokok. Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN