KUALA SELANGOR: Tindakan seorang pekerja syarikat kawalan keselamatan mencuri wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank kampus Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya di sini, memakan diri apabila dicekup polis semalam.
Lebih malang apabila lelaki berusia 36 tahun ditahan kurang 24 jam selepas melakukan perbuatan khianat tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 11.40 malam kelmarin.
Kata beliau, perkara itu disedari seorang pekerja lain yang juga rakan suspek ketika mahu membaiki kerosakan mesin ATM berkenaan.
“Pengadu mendapati dua bekas besi di dalam mesin itu terbuka dan tidak mempunyai wang. Wang itu disyaki dicuri dan laporan polis kemudian dibuat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Ramli, siasatan lanjut membawa kepada tangkapan suspek di kediamannya di sekitar Kundang, pukul 1.45 pagi semalam.
“Polis turut berjaya merampas wang tunai berjumlah RM5,000 di rumah tersebut. Suspek direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN