Peja usah sibuk urusan TPM - Isham 

Peja usah sibuk urusan TPM – Isham 

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mencadangkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak perlu sibuk berkenaan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Ketua Penerangannya, Isham Jalil berkata, ini berikutan jawatan itu adalah hak serta budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, dan bukannya beliau atau partinya. 

“Daripada kamu sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin UMNO yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan terpilih oleh pemimpin dari parti kamu dulu, saya saran supaya kamu atau rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi kluster mahkamah 2.0. 

“Ia akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Sebab sebelum ini semasa parti kamu dalam kerajaan, puak-puak kamu banyak terlepas dari pendakwaan kes jenayah apabila wakil-wakil rakyat kamu melompat parti. 

“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah? 

“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Justeru, Isham meminta Ahmad Faizal untuk memfokuskan kepada masalah kritikal beliau dan partinya itu. 

“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan, di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Ahmad Faizal yang meminta Ahmad Zahid direhatkan dari tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Menurut Ahmad Faizal, langkah itu bagi memastikan perbicaraan kes mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya