KUALA TERENGGANU : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah disaran memasang papan tanda amaran di pantai-pantai tumpuan pelancong berikutan penemuan obor-obor spesies Portuguese Man o’War di beberapa pantai di negeri ini sejak Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun obor-obor yang ditemukan terdampar di pantai merupakan perkara biasa yang terjadi setiap tahun, namun ia tidak boleh dipandang remeh.
Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat pengunjung pantai yang tidak mengetahui bahaya yang bakal mereka hadapi jika tersentuh atau disengat obor-obor beracun itu.
“Oleh itu, kita sarankan agar PBT memasang papan tanda amaran mengenai obor-obor spesies Portuguese Man o’War tersebut untuk memperingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian Amanat & Himpunan Warga Kerja Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) di Wisma Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di sini, hari ini.
Obor-obor spesies Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ sangat berbahaya kerana ia masih beracun walaupun sudah mati.
Lebih merisaukan kerana saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kedamparannya di pantai.
Difahamkan, seorang kanak-kanak telah disengat obor-obor itu ketika sedang berada di Pantai Kekabu dekat Marang pada Isnin lalu, namun keadaannya kini stabil setelah menerima rawatan di sebuah klinik.
Mengulas lanjut, Dr. Azman berkata, pihaknya juga telah meminta kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sentiasa memantau beberapa pantai yang berisiko menjadi lokasi obor-obor itu terdampar dan segera melupuskannya untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – UTUSAN