PUTRAJAYA: Barisan jemaah menteri dan kumpulan penjawat awam harus keluar dari kepompong selesa jika mahu membawa perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan demi menyelesaikan masalah rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu semua harus bekerja dalam sebuah pasukan lebih-lebih lagi dalam Kerajaan Perpaduan yang berbeza pandangan politik dengan belajar menerima kekuatan dan mengakui kelemahan untuk memastikan kecekapan dalam tadbir urus negara.
“Dalam apa-apa sistem mesti ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan, (keluar) dari budaya selesa, walaupun sudah menjadi menteri, Perdana Menteri, ketua pengarah perkhidmatan awam perlu ada kesediaan untuk melakukan transformasi.
“Sekiranya ada pendekatan yang lunak, majoriti bersama kita, menteri-menteri ini bukan dari satu pasukan, tetapi untuk belajar terima kekuatan, mengakui kelamahan dan lebih penting tekad untuk negara ini harus stabil politik dan jelas hala tujunya.
“Keinginan membawa perubahan mengangkat semua martabat bangsa dan negara, kalau ada kesatuan pemikiran ke arah itu, maka saya percaya kita boleh lakukan terutama meningkatkan tahap kecekapan dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya “katanya pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari di sini hari ini.