Pasar raya besar diseru sertai Inisiatif Rahmah KPDN - Utusan Malaysia

Pasar raya besar diseru sertai Inisiatif Rahmah KPDN

Pasar raya besar
SALAHUDDIN Ayub meninjau harga barangan dekat pasar raya Econsave Pandamaran di Klang, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Semua pasar raya besar di seluruh negara diseru sertai kempen Inisiatif Rahmah bagi mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40.

Inisiatif baharu diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu meliputi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedang melakukan perbincangan dengan beberapa pasar raya besar bagi menjalin kerjasama terutama melibatkan jualan harga murah dan memberi permit notis jualan murah sehingga empat bulan bagi mereka yang melaksanakannya.

“Kita menyasarkan pasar raya itu akan menawarkan harga barangan keperluan sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Justeru, semua pasar raya besar atau biasa amat dialu-alukan untuk berkolaborasi bagi menjayakan aspirasi sepanjang tahun itu,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Rahmah dan Kempen Penurunan Harga 1,000 Barangan Jualan Rahmah di pasar raya Econsave Pandamaran, petang tadi.

Jelas Salahuddin, kempen itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kos daripada kerajaan.

“Inisiatif ini menggunakan sepenuhnya kos menerusi hasil kerjasama dengan pemain industri sedia ada. Ini termasuk kempen Bakul Rahmah yang disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar,” ujarnya.

Tambah beliau, Econsave menjadi perintis inisiatif itu menerusi 91 cawangan pasar raya syarikat berkenaan di seluruh negara.

“Kempen penurunan harga barangan yang berpatutan itu antaranya makanan kering, sabun susu formula dan lampin pakai buang bayi. Kesemua barangan itu akan ditentukan sendiri oleh pihak pasar raya sama ada secara bermusim atau sebaliknya,” jelasnya.

Ahad lalu, Salahuddin memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan program Payung Rahmah bagi membantu golongan B40 bersedia mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.

Program itu adalah langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan ini, dengan ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Pemain industri dan orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif itu boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03-8882 5881/ 5905 atau emel ke [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya