Pasangan kekasih beri alasan berehat di bilik hotel penat bersiar-siar - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih beri alasan berehat di bilik hotel penat bersiar-siar

ANGGOTA JHEAT menyoal siasat pasangan kekasih yang ditangkap khalwat di sebuah hotel di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sepasang kekasih memberi alasan hanya mahu berehat di bilik hotel untuk sementara waktu kerana terlalu penat selepas seharian bersiar-siar di sekitar bandar raya ini ketika mereka ditangkap berkhalwat, baru-baru ini.

Kedua-dua mereka yang masih belajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan dalam satu operasi pencegahan maksiat sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah hotel di bandar raya ini pada Jumaat lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Khairul Azizi Idris berkata, kedua-dua pelajar IPTS itu yang berusia lingkungan 20-an berasal dari Terengganu.

“Turut ditahan dalam operasi tersebut ialah satu lagi pasangan yang berasal dari luar Terengganu di bilik berasingan hotel yang sama.

“Mereka dikatakan datang bercuti ke Terengganu sempena cuti perayaan dan ketika serbuan dibuat, pasangan itu yang juga berusia lingkungan 20-an sedang tidur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seramai 25 anggota Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT dan Unit Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu terlibat dalam operasi yang dijalankan di sekitar hotel di bandar raya ini bermula pukul 12.30 malam, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua empat individu itu ditahan di bawah Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Lelaki dan wanita yang berada bersama seorang atau lebih dari seorang berlainan jantina yang bukan mahram di tempat terlindung, dalam rumah atau bilik dalam keadaan boleh menimbulkan syak adalah satu kesalahan.

“Kami mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan aktiviti maksiat kerana kami akan melakukan operasi pencegahan dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya