SHAH ALAM: Pas Selangor disifatkan sebagai ‘bermimpi di siang hari’ apabila berhasrat menawan negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin, kemenangan Pas di enam kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya sekadar kempen mempengaruhi pengundi.
“Pas mempengaruhi pengundi melalui kempen di media sosial pada PRU15 khususnya TikTok, maka tidak hairanlah ia tersebar luas mempengaruhi pengundi yang cetek pengetahuan tentang politik dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan,Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil alih kerajaan Selangor daripada Pakatan Harapan pada PRN akan datang.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu.
Malah keazaman itu dikuatkan lagi selepas melantik Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu kepada Pesuruhjayanya di Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, iaitu Low Lee Leong bagi membantu membina hubungan antara Pas negeri ini dengan komuniti kaum Cina dan India di negeri ini.
Dalam pada itu, Adzman turut menegaskan, perbandingan juga seharusnya dibuat antara Selangor dipimpin Pakatan Harapan (PH) berbanding Kelantan atau Terengganu.
“Dunia mengiktiraf kebangkitan Malaysia dan melihat Kerajaan Perpaduan melakukan apa yang gagal dilakukan Pas selama lebih 30 bulan berada di Putrajaya,”katanya.
Malah,tambahnya lagi, pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai peruntukan sebanyak RM100 juta bagi kerja baik pulih dan melebarkan jalan di seluruh negeri menunjukkan tekad kerajaan negeri mengurus kemudahan asas terbaik untuk rakyat.
“Sebanyak 42 program Iltizam Selangor Penyayang untuk tahun 2022 telah memberi manfaat begitu besar buat rakyat negeri Selangor termasuk mereka yang berhijrah dari negeri ditadbir Pas kerana kegagalan menyediakan peluang pekerjaan,” ujarnya. – UTUSAN