PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) membantah sebarang tindakan monopoli oleh segelintir agensi pengambilan pekerja asing melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket daripada agensi-agensi pekerjaan di negara sumber tertentu.
Setiausaha Agungnya, Dr. Sukumaran Nair berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasikan kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.
Kata beliau, walaupun ribuan kelulusan pengambilan diberikan, namun pekerja yang tiba di negara ini adalah begitu rendah.
“Kerajaan diseru mengambil alih operasi sistem digital dan memperincikan struktur proses pengambilan pekerja asing serta-merta.
“Kami juga menyeru kerajaan manamatkan polisi merekrut segolongan agensi pekerja asing dari negara sumber tersebut kerana ia tidak dijalankan secara teratur mengikut lunas polisi kerajaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama menyokong tindakan kerajaan yang giat melaksanakan program dan proses untuk memudahkan pengambilan pekerja asing untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor yang kekurangan kritikal tenaga kerja itu.
Program rekalibrasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membolehkan pekerja asing sedia ada dalam negara boleh terus diambil bekerja dengan mematuhi syarat ditetapkan disambut baik sebagaimana dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Sukumaran mahu penstrukturan semula sistem pengambilan pekerja asing mampu menangani sebarang unsur salah guna kuasa dan penyelewengan termasuk tindakan monopoli golongan tertentu.
Justeru, katanya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia diminta memandang serius tentang etika dan polisi kerajaan yang sedang dipraktikkan pada masa ini dalam perekrutan pekerja asing.
“Ini dapat menghindarkan mana-mana negara asing yang terlibat tidak menggangu proses dan protokol negara kita yang kini terjerumus di kategori Tahap Ketiga di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sektor pengambilan pekerja asing Global.
“PAPSMA juga menyeru agar kementerian-kementerian terlibat mengadakan sesi dialog dan perjumpaan pihak persatuan, malah menyokong pertemuan dua hala antara Malaysia dan negara sumber bagi menyelesaikan masalah yang membantutkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini. – UTUSAN