Orang Jawa pasti teruja JPJ buka bida plat JWA

Orang Jawa pasti teruja JPJ buka bida plat JWA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas tamat siri JV dengan abjad terakhirnya iaitu Y ditutup untuk bidaan pada 19 Januari lalu, kini siri huruf baharu JW dengan huruf pertama A mula dibuka pula.

Uniknya, plat bagi kenderaan darat untuk Johor itu yang hanya bakal dibuka untuk bidaan awam secara talian bermula 25 Januari depan sudah tular diperkatakan ramai warganet.

Malahan, ramai pengguna media sosial tempatan menjangkakan plat JWA mampu menarik bidaan tinggi dan mengulangi ‘kisah’ sama pernah berlaku ke atas plat JUN pada 2021.

“Cantik kombinasi tiga huruf ini,” nukil netizen bernama Noranuar Sajari melalui komen dalam akaun Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular sejak semalam.

“Jawa sahaja boleh,” tulis seloroh warganet dengan nama Afiq Anwar, manakala seorang lagi pengguna, Mohd. Izainil secara jenaka pula membalas: “Orang Parit Jawa suka ni!”

JPJ menerusi hantaran hebahannya itu memaklumkan bahawa bidaan JWA cuma dibuka selama tempoh lima hari sebelum ditutup tepat pukul 10 malam pada 29 Januari depan.

Keputusan mengenai siapa yang berjaya akan diumumkan pada keesokannya dan orang awam di seluruh negara boleh membida dengan melayari pautan https://jpjebid.gov.my.

Plat J yang diperkenal penjajah British sebelum Perang Dunia Kedua, pernah jadi rebutan apabila sistem bidaan atas talian diwujudkan JPJ pada 2019 bermula dengan siri JTR.

Awal 2021 lalu, JPJ Johor melakar sejarah apabila merekodkan kutipan hasil RM3.24 juta untuk siri JUN yang dibuka untuk bidaan dalam masa lima hari sahaja mulai 13 Februari.

Ia melepasi sasaran ditetapkan hanya RM2.5 juta dengan tertinggi plat JUN 9 sebanyak RM100,000 manakala JUN 4101 pula paling ramai pembida kerana macam nama Junaidi.

Sehubungan itu, siri JWA dijangka mampu menarik minat ramai etnik Jawa khususnya di Selangor dan Perak selain di Johor sendiri kerana ada mirip sebutan suku kaum tersebut.

Sebelum sistem pembidaan elektronik dilaksanakan JPJ, plat J pernah ‘gempar’ dengan siri JEF pada 1996 kerana gabungan tiga huruf itu seperti nama lazim individu iaitu Jefri.

Ini diikuti pada 2005 pula dengan siri JJJ kerana dianggap ada ‘tuah’ Johor disebut tiga kali malah Sultan Johor ketika itu berjaya mendapatkan plat JJJ 1 dengan nilai RM120,000.

Pada waktu ini, siri plat semasa Johor ialah JVX dengan peralihan huruf selang tiga atau empat minggu sebelum kombinasi tiga huruf tamat menerusi JYY menjelang 2025 kelak.

Bahkan plat J merupakan siri kedua yang paling pantas di Malaysia selepas Kuala Lumpur malah telah memintas siri B dan P masing-masing bagi plat Selangor dan Pulau Pinang.

JPJ seperti kebanyakan amalan lazim di negara Pertubuhan Komanwel Britain yang lain, hanya melarang siri abjad I dan O untuk dielak berlaku kekeliruan dengan angka 1 dan 0.

Begitu juga huruf Z dikhususkan cuma untuk semua kenderaan darat rasmi milik Angkatan Tentera Malaysia melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya