GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai di sini mendakwa terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan talian telefon dan internet bagi memudahkan perhubungan terutama semasa berdepan kecemasan.
Wakil penduduk, Aport Angkai, 31, mendakwa, pada masa yang sama mereka mendaki bukit untuk mendapatkan isyarat setiap kali mahu berhubung.
“Ketiadaan akses talian telefon dan internet menyukarkan untuk mendapatkan bantuan di waktu kecemasan terutama ketika berdepan ancaman serangan haiwan liar.
“Kita sudah berada pada 2023, namun penduduk Orang Asli di daerah ini masih lagi menghadapi masalah perhubungan talian internet dan telefon,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mulian Alok, 51, memberitahu, meskipun kampungnya mendapat manfaat daripada Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang disediakan kerajaan namun capaiannya amat terhad.
Katanya, penduduk merayu agar kerajaan membina sebuah menara telekomunikasi untuk mereka berhubungan dengan kawasan luar.
“Ketika ini panggilan telefon hanya dapat dibuat menerusi aplikasi WhatsApp. Kami menggunakan WiFi (Jendela) tetapi kerana terlalu ramai yang menggunakannya menyebabkan capaian menjadi perlahan dan terhad.
“Kemudahan telekomunikasi ini sangat penting bukan sahaja untuk kecemasan, tetapi untuk memudahkan urusan jual beli hasil hutan antara kami dengan pembeli di kawasan luar,” katanya.
Selain itu masalah masa turut dihadapi penduduk di Pos Balar yang melibatkan seramai 1,000 penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengambil maklum aduan masalah jaringan telekomunikasi terhad yang dihadapi masyarakat Orang Asli di penempatan terbabit.
Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan memandangkan liputan jaringan komunikasi menjadi perkara yang utama dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya. – UTUSAN