PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih belum menemui gajah liar yang didakwa memijak mati remaja Orang Asli di Lipis, Pahang.
Menurut kenyataan agensi tersebut, pihaknya bertindak pantas melancarkan operasi pada 10 Januari lalu, sehari selepas insiden berkenaan dilaporkan di sekitar kawasan itu.
“Malahan operasi tangkapan ini dianggotai oleh seramai 16 kakitangan Perhilitan Pahang dan juga dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Temerloh,” jelasnya.
Pada 9 Januari lalu, Andy Yok Manin, 15, maut diserang seekor gajah liar ketika mangsa dan keluarganya mencari durian di Kampung Tual, Pos Sinderut kerana dipercayai mamalia berkenaan dihalau penduduk dari Kampung Regang ia menuju kawasan kebun bersebelahan pula.
Kejadian itu mengulangi kes sama menimpa seorang wanita Orang Asli, Wak Angkat Yok Tong, 39, mati dipijak gajah di Kampung Simoi, Pos Betau pada 6 Disember tahun lepas yang turut mengakibatkan rumah kayu dihuni suaminya, Nasir Gelahok, 41, dan tujuh anaknya hampir roboh dilanggar binatang berkenaan.
Jarak antara kedua-dua perkampungan suku kaum Semai itu ialah 66 kilometer atau lebih sejam memandu kereta serta tidak jauh dari sempadan dengan negeri jirannya, Perak.
Pos Sinderut mengandungi 19 buah perkampungan yang didiami 5,000 penduduk, manakala Pos Betau pula merangkumi 18 buah perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk.
Mengulas lanjut, Perhilitan berkata, operasi melibatkan pemantauan yang dilakukan pada waktu malam, sementara penjejakan dibuat sebelah siang berdasarkan kesan dicerap.
“Hasil cerapan terkini mendapati gajah itu bergerak dari Pos Betau merentasi Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dan kembali ke Hutan Simpan Ulu Jelai,” tambahnya.
Setakat ini ujar Perhilitan, pemantauan namun masih diteruskan di Pos Sinderut, Pos Betau, Pos Lenjang, Pos Pantos dan Kampung Keledek yang kesemuanya di Daerah Lipis, namun ditamatkan pada esok sekiranya tiada lagi kesan petunjuk atau aduan kehadiran gajah baharu di setiap lokasi terlibat.- UTUSAN