IPOH: Sebanyak 909 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negeri ini dalam tempoh dua hari pertama Op Selamat 19/2023 perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan 1,549 saman atau 63 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,458 saman.
Katanya, saman yang dikeluarkan pada Op Selamat kali ini memperlihatkan abai peraturan lalu lintas merekodkan jumlah kesalahan tertinggi diikuti parkir, tali pinggang keledar, tiada lesen dan nombor pendaftaran kenderaan.
“Sehingga semalam, sebanyak 252 kes kemalangan jalan raya dilaporkan. Daripada jumlah itu, terdapat dua kemalangan maut yang mengorbankan dua mangsa.
“Kemalangan maut itu masing-masing membabitkan penunggang motosikal dan penumpang kereta,” katanya pada Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang Ke Kampung Sempena Tahun Baharu Cina bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Plaza Tol Ipoh Selatan (utara) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail dan Timbalan JSPT Perak, Deputi Superintenden Roslan Mohamed@Ab. Azi.
Menurut Azizan, aliran trafik masuk ke Perak melalui Lebuh Raya Utara-Selatan berada di skala tiga iaitu menunjukkan pertambahan kenderaan namun masih bergerak lancar dan terkawal.
Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti berlaku kesesakan ialah di laluan utara dan selatan Gunung Semanggol di Kerian, Bukit Berapit di Taiping, Sungai Perak, Terowong Menora, Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng dan Tapah.
“Secara amnya, kita dapat lihat aliran lalu lintas sesak terutama menghala utara. Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan adalah kerana pemberian tol percuma bermula hari hingga esok.
“Kita juga menjangkakan akan berlaku peningkatan lalu lintas pada hari ini dan esok iaitu antara 20 ke 30 peratus berbanding hari biasa dengan anggaran mencecah dua juta kenderaan,” katanya. – UTUSAN