PUTRAJAYA: Ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) disertai 10 pendaki negara bakal berlepas ke Nepal April ini bagi menakluk puncak tertinggi dunia selepas misi itu tertangguh akibat cuaca buruk tahun lalu.
Misi ME 2023 anjuran Kelab Eksplorasi Altit itu sudah bersiap sedia sejak Disember lalu dengan menjalani latihan mendaki Kem Induk Everest (EBC) dan Lobuche Peak di Nepal termasuk pengalaman di Everest pada tahun lalu.
Salah seorang pendaki, Muhammad Hawari Hashim, 32, yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu berkata, dia berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapat ‘tonik semangat’ sebelum memulakan misi April ini.
Katanya, dia mengagumi Perdana Menteri kerana kecekalannya dalam bidang politik sekali gus menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menakluk puncak tertinggi dunia itu.
“Misi ini adalah cabaran kedua bagi saya selepas tertangguh pada tahun lalu akibat faktor cuaca dan pada kali ini bertekad serta yakin mencapai kejayaan bagi membuktikan OKU juga setaraf dengan golongan lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Misi ME 2023 bertujuan mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa peserta.
Sementara itu, Presiden Kelab Eksplorasi Altitud yang juga bekas pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak berkata, misi itu akan disertai lapan peserta lain iaitu tiga anggota Komando 69 iaitu Mohammad Hanif Che Ahmad, 29, Inspektor Kanang Usin, 43, dan Koperal Pragash Murugesu, 33, dari Kem Ulu Kinta.
Katanya, peserta lain termasuk Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 55, kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 29, Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan, 42, dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng, 38.
“Kelab juga sudah bersedia dari segi bajet hasil sumbangan kerajaan sebelum ini dan ia mencukupi untuk membiayai kos peserta sepanjang ekspedisi.
“Kita yakin ekspedisi kali ini akan berjaya dan dapat mengharumkan nama negara di peringkat dunia kerana salah seorang peserta adalah dari golongan OKU pekak dan bisu,”katanya.
Katanya, pada Mei tahun lalu empat peserta terpaksa berpatah balik disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) hingga 70 km per jam pada kedudukan 7,600 meter dari paras laut (8,848 m ketinggian Everest).
Jelasnya lagi, misi kali ini akan dimulakan lebih awal selepas aktiviti pendakian Everest dibuka bagi mengelak faktor cuaca sama berulang yang boleh menimbulkan bahaya dan keselamatan kepada pendaki. – UTUSAN