PONTIAN: Seorang wanita yang menghidap penyakit untut atau kaki gajah memohon pihak berkenaan mempertimbangkan permohonannya untuk mendapatkan pencen ilat bagi meneruskan kehidupan.
Menurut Norhayati Abu Bakar, 51, dia bekerja selama 15 tahun di sebuah kilang kelapa sawit di Kulai tetapi terpaksa berhenti pada 2016 berikutan penyakit yang dihidapi pada 2015.
Sebelum ini Allahyarham suaminya, Abdul Rahman Idrus telah berusaha turun naik pejabat di Johor Bahru bagi mendapatkan pencen ilat tetapi ditolak dengan alasan bukan ‘cacat kekal’.
Jawapan yang diberikan itu menyebabkan mereka tidak meneruskan usaha tersebut memandangkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk terus menuntut haknya itu.
“Ketika saya duduk selama enam bulan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, kami didatangi oleh seorang pegawai dari agensi tersebut, namun hingga kini tiada sebarang keputusan.
“Saya kini tiada sumber pendapatan, hanya bergantung dengan sumbangan daripada kaum keluarga serta jiran-jiran yang bersimpati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Sepam, Benut, dekat sini.
Norhayati mempersoalkan jawapan daripada agensi tersebut yang menyatakan dia mampu untuk bekerja, namun hakikatnya dia tidak lagi berupaya untuk berjalan seperti biasa.
Lebih malang, suaminya meninggal dunia pada tahun lalu disebabkan penyakit ‘long Covid’ menyebabkan dia kini hanya bergantung dengan elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) sebanyak RM300 sebulan.
“Bantuan bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal telah diusahakan oleh arwah suami sebelum dia meninggal dunia sebagai perbelanjaan sekiranya tiada,” katanya dengan linangan air mata.
Dia mempunyai empat orang anak, masing-masing dua lelaki dan perempuan dengan kedua-dua anak perempuannya telah berumah tangga dan mengikut suami masing-masing di Negeri Sembilan dan Simpang Renggam.
Dia kini tinggal bersama-sama dua anak lelaki termasuk anak sulung yang juga OKU mental berusia 31 tahun dan seorang lagi bekerja sebagai pembantu kedai makan.
“Anak lelaki saya menerima elaun sebanyak RM400 yang juga digunakan bagi menampung perbelanjaan harian, manakala elaun saya sebahagiannya untuk membayar sewa bulanan penapis air.
“Dengan sedikit lebihan itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan, bayaran mencuci kaki setiap minggu di klinik swasta di Rengit sebanyak RM30 sekali perkhidmatan,” katanya sambil memaklumkan turut mendapatkan rawatan tiga atau empat kali setahun di Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat.
Dia memberitahu, penyakitnya bermula dengan gigitan nyamuk semasa bekerja di Kulai, kemudian berasa gatal sebelum membengkak seperti lengan bayi dan kini semakin membesar.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Norhayati menerusib013-2055425 atau anaknya, Hakim Abdul Rahman 013-7610608 atau menyalurkan terus sumbangan ke akaun Maybank Norhayati nombor 151191631628. – UTUSAN