PUTRAJAYA: Kerajaan mengalami kerugian sekitar RM150 juta akibat kegagalan syarikat perniagaan dan industri membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya mendapati kurang 10 peratus syarikat dan industri dikesan gagal membayar cukai berkenaan.
Beliau berkata, ahli lembaga pengarah syarikat yang gagal membayar cukai SST akan berdepan tindakan sekatan ke luar negara.
“Syarikat yang culas membayar cukai akan dikenakan penalti lebih tinggi jika tidak menyelesaikan dalam tempoh diberikan, malah boleh
dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan undang- undang jika masih gagal.
“Kami mendapati hanya sekitar 90 peratus entiti perniagaan di negara ini yang membayar cukai dengan baik setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Handholding SST ‘Ikrar Betul, Bayar Betul’ di sini, hari ini.
Katanya, walaupun jumlah yang gagal membayar cukai itu kecil, namun ia tetap memberi impak kepada kerajaan.
Sazali berkata, pihaknya merekodkan kutipan keseluruhan hasil berjumlah RM53.54 bilion tahun lalu iaitu meningkat 25.97 peratus atau RM11.0 billion berbanding kutipan RM42.50 billion tahun sebelumnya.
Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM52 billion tahun ini dan komited melaksanakannya serta bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam melaksanakan amanah kerajaan.
“Peningkatan hasil cukai tahun lalu disumbangkan melalui kutipan cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, duti import dan levi selain disokong pertumbuhan ekonomi yang semakin menggalakkan berbanding 2020 dan 2021.
“Kami juga akan membuat penjajaran semula strategi kutipan cukai ditetapkan kerajaan seperti meningkatkan kecekapan, memberi fasiliti perdagangan lebih efisyen, meningkat tahap pematuhan industri melalui aktiviti pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang lebih telus menerusi pengauditan bersasar,” katanya.
Sementara itu, Sazali berkata, program dua hari itu bertujuan membuka ruang seluasnya kepada orang ramai untuk mengemukakan sebarang masalah dan mendapatkan info terkini berkenaan percukaian SST.
Katanya, program itu diadakan bersempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada 26 Januari lalu. – UTUSAN