BUKAN sekali dua isu mengenai juri atau cara penjurian sesebuah program berbentuk pertandingan nyanyian menjadi bahan bualan ramai.
Lebih-lebih lagi bila kini banyak program seumpamanya seakan berlumba-lumba untuk mengejar rating tontonan tinggi di kaca televisyen dek desakan persaingan dalam dunia penyiaran itu sendiri.
Selain peserta yang bertanding, juri juga seakan perlu menggalas ‘tanggungjawab’ untuk mencipta seberapa banyak ‘drama’ yang boleh supaya program itu menjadi bahan bualan orang dan menjadi tular di media sosial.
Mahu percaya atau tidak, itulah antara realitinya. Maka tidak hairanlah, ada kalangan juri dilihat lemah dari aspek perkongsian ilmu muzik atau nyanyian
sebenar sehingga terpaksa menutupnya dengan perwatakan bak seorang cikgu disiplin.
Namun, adakah kritikan berlandaskan mulut pedas itu benar-benar dapat mengajar artis yang bertanding?
Jika tidak, apa pula kriteria utama bagi individu yang layak untuk duduk di kerusi juri program nyanyian?
Perlu menang satu anugerah sepanjang hidup – Azwan Ali
Bagi pengacara sensasi, Azwan Ali, 56, mana-mana individu yang dilantik sebagai juri perlu memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah sepanjang menceburi karier sebagai penyanyi.
Jelas Azwan yang sudah berkecimpung selama 35 tahun dalam bidang seni, pencapaian tersebut menunjukkan kualiti vokal mereka pernah diiktiraf dan mendapat penghargaan menerusi penganjuran anugerah berprestij di negara ini.
“Sepatutnya kredibiliti atau kelayakan menjadi juri mestilah pernah menang satu anugerah sepanjang karier mereka.
“Sekurang-kurangnya vokal mereka sudah dinilai dan diiktiraf sekiranya program tersebut berkaitan dengan nyanyian, barulah layak menilai peserta bertanding.
“Adakah sikap juri yang suka mengamuk dan terjerit-jerit ini menjadi ‘nyawa’ kepada stesen televisyen?” soalnya.
Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA turut melahirkan kekecewaan dengan lambakan juri ‘sampah’ yang kian menguasai rancangan realiti di televisyen.
Sedangkan, katanya, ramai penyanyi hebat seperti Datuk Aishah dan Datuk Francissca Peter yang terbukti memenangi pelbagai anugerah vokal tetapi jarang dijemput menjadi juri.
“Balik-balik muka yang sama muncul dalam televisyen, sedangkan penyanyi yang mahir mengenai vokal juga ramai dan boleh memberikan komentar mengenai persembahan nyanyian,” katanya.
Dalam masa sama, Azwan yang sinonim dengan ayat ‘see my level’ turut menempelak rancangan hiburan yang tidak menghormati kedudukan sebenar kerusi juri kerana lebih gemar meniru rancangan dari luar negara.
“Ini bukan rancangan realiti kartun yang sumbat siapa sahaja jadi juri sehingga terpekik-pekik dan terkinja-kinja. Ini trend negara mana? Kehormatan juri itu terletak pada kerusinya dan mereka perlu hormat dengan kedudukan tersebut,” katanya.