PUTRAJAYA: Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk menubuhkan tribunal bagi menyemak gaji dan elaun yang diterima hakim-hakim di negara ini.
Presidennya, Karen Cheah berkata, semakan ke atas gaji dan elaun tersebut kerana struktur imbuhan semasa dilihat tidak sesuai kerana ia berdasarkan kehendak daripada eksekutif dan perundangan.
Justeru, beliau berharap supaya kerajaan dapat menangani isu tersebut dengan lebih serius dan segera.
“Menetapkan tahap gaji yang selayaknya akan memastikan dan mengekalkan bakat-bakat terbaik negara dan pada masa sama memelihara kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam ucapan sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Selain itu, Karen berkata, Badan Peguam menggesa supaya kerajaan membuat pindaan ke Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan umur persaraan hakim ke 70 tahun.
Perlembagaan kini menetapkan usia persaraan hakim iaitu 65 tahun.
Hal itu, kerana, pihaknya percaya dengan menaikkan usia itu dapat menguatkan institusi kehakiman di samping mengekalkan bakat-bakat kehakiman di negara ini.
“Banyak badan kehakiman di seluruh dunia telah menetapkan umur persaraan 70 tahun, malah beberapa negara juga telah mencadangkan umur persaraan dinaikkan kepada 75 atau 80 tahun,” katanya.
Karen juga memetik kenyataan Prof. Martin Friedland di dalam laporannya kepada Mahkamah Kehakiman Kanada bahawa terdapat hubungan yang rapat antara gaji kehakiman dengan kebebasan kehakiman.
“Jika gaji hakim bergantung dengan kehendak kerajaan, hakim tidak akan mempunyai kebebasan yang dinginkan dalam sistem kehakiman. Jika gaji boleh dinaikkan atau dikurangkan sewenang-wenangnya dalam kes perseorangan atau secara kolektif, kerajaan mempunyai ukuran yang kuat dalam mengawal badan kehakiman,” katanya. -UTUSAN