JOHOR BAHRU: Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO berkata, beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri berhubung tindakan yang dikenakan terhadapnya itu.
Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu reda dengan keputusan tersebut.
“Saya reda walaupun sangat sayang parti yang banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara. Selama 42 tahun saya menjadi ahli dan saya bermula dari peringkat cawangan serta bergiat dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
“Mungkin silap saya kerana kadangkala tidak sehaluan dengan Presiden. Tidak mengapa, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau tetap mendoakan supaya UMNO dapat kembali pulih dengan kepimpinan yang diterima bukan sahaja oleh ahli parti, malah pengundi dan rakyat.
“Semoga UMNO dapat kembalikan semula roh perjuangan yang berlandaskan asas penubuhan parti, iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum yang tercinta ini.
“Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya,” jelasnya.
Semalam, Maulizan antara empat pemimpin UMNO yang digantung keahlian selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.
Sementara itu, Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu pula dipecat.
Tampuk kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO Johor turut berubah apabila Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad diganti oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO. – UTUSAN