PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditempelak kerana mengambil lebih 700 pekerja baharu yang berstatus tetap, namun tergamak pula membuang staf kontrak.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, agensi itu sepatutnya mengutamakan pekerja tidak tetap yang berpengalaman.
Sebahagian besar kakitangan terbabit malahan ada berkhidmat lebih 10 tahun dan tidak perlu pun dilatih semula kerana sudah mahir dengan sistem kerja LHDN yang kompleks.
“Saya dimaklumkan LHDN boleh ambil pula lebih 700 staf baharu sebagai pegawai tetap walhal mereka pernah ada kata tidak perlu ramai pekerja lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan surat ‘Rayuan Untuk Sesuap Nasi’ kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin di sini yang disampaikan bekas Pemangku Presiden MTUC, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang hadir mewakili pemimpin blok berkenaan, Mohd. Effendy Abdul Ghani.
Ia diserahkan susulan isu penamatan seramai 958 petugas kontrak LHDN gred 21 pada 31 Disember lalu selepas rundingan terakhir pihak kesatuannya tiga hari sebelum itu gagal.
Badan berkanun tersebut dalam reaksi balasnya pada 29 Disember lalu memberikan alasan kononnya pembuangan itu perlu dilaksanakan kerana isu peralihan kepada fasa digitalisasi.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin membidas alasan diberikan LHDN itu kerana proses transformasi pendigitalan agensi berkenaan sudah lama dilakukan dan bukannya baharu.
“Jika ini dalih mereka, bagaimana pula sempat lagi ditawar jawatan tetap kepada ratusan staf baharu dengan gaji lebih besar berbanding staf kontrak yang dibuang itu?” soalnya.
Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dapat segera campur tangan membantu nasib ramai bekas pekerja terbabit.
Ditanya kenapa MTUC tidak berunding terus dengan pihak LHDN walaupun tahu notis pemberhentian sudah diberitahu pada Jun lalu, beliau berkata, isu kali ini di luar jangkaan.
Kelazimannya, agensi tersebut memang mengeluarkan makluman penamatan dalam masa enam bulan lebih awal tetapi secara kebiasaan staf terbabit tidak pernah dibuang pun.
Amalan itu ujarnya, sudah berlaku lebih 18 tahun lalu dan pekerja terlibat akan disambung kontrak tugas setiap tahun seperti biasa tanpa ada masalah pada awal tahun berikutnya.
Bagaimanapun kali ini kata Kamarul Baharin, pihak kesatuan LHDN diberitahu bahawa pembuangan staf tersebut akan dimuktamadkan dan diganti pula dengan ramai petugas tetap.
“MTUC juga tidak campur tangan pada peringkat awal kerana beranggapan rundingan oleh kesatuan LHDN adalah cara terbaik tetapi situasi kali ini berakhir buntu pula,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, MTUC memutuskan untuk segera bertindak sejurus rundingan dengan pihak LHDN gagal dan tidak mahu dilihat terburu-buru cuba mencetuskan masalah. – UTUSAN