MQA, UK ENIC perkukuh kerjasama dua hala

MQA, UK ENIC perkukuh kerjasama dua hala

PENGURUSAN UK ENIK dan MQA menunjukkan MoU yang sudah ditandatangani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkukuh jaringan antarabangsanya dalam bidang jaminan kualiti dan akreditasi menerusi kerjasama dengan ECCTIS Ltd (ECCTIS), UK National Information Centre (UK ENIC).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama itu bagi memperkasa dan menjamin kualiti pendidikan tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK).

Beliau berkata, kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua pihak menjadi pemudah cara program mobiliti membabitkan institusi pendidikan tinggi (IPT), mempromosikan sumber maklumat negara, bekerjasama dalam aktiviti dan perkhidmatan, pertukaran maklumat dan pakar.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju bekerjasama dalam Pendidikan Transnasional (TNE), termasuk kedua-dua kelayakan TNE UK-Malaysia dan TNE antarabangsa, bekerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Vokasional (VET),” katanya pada majlis menandatangani MoU yang diadakan secara dalam talian di sini, hari ini.

Pada majlis itu, MQA diwakili Mohammad Shatar, manakala ECCTIS diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua UK ENIC, Paul Norris.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kerjasama ini selari dengan agenda utama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengantarabangsakan sistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, pengajian sepanjang hayat (PSH) dan pendidikan fleksibel ialah antara inisiatif yang memberi nilai tambah untuk ditonjolkan oleh Malaysia di persada global.

“MQA bertuah kerana mempunyai rakan kongsi seperti UK ENIC yang kami percaya menjadi titik rujukan MQA untuk menanda aras sewajarnya.

“Sebagai permulaan, MQA akan menghantar dua pegawai bagi mengikuti latihan dalam bidang khidmat pelanggan ke UK ENIC mulai 16 Januari depan,” katanya.

Sementara itu, Norris berkata, kerjasama dalam kalangan badan akreditasi di seluruh dunia amat penting dalam terutama selepas dunia dilanda Covid-19 yang menyaksikan pelbagai mod pengajian diperkenalkan.

Katanya, hubung kait antara kualiti dan pengiktirafan amat penting dalam kerjasama yang terjalin antara dua badan jaminan kualiti di UK dan Malaysia.

“Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai inisiatif dalam bidang jaminan kualiti.

“Selaras dengan Konvensyen UNESCO, kita boleh bekerjasama dalam elemen berbeza bagi amalan kedua-dua agensi untuk belajar antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya