Melaka kuat kuasa pelitup muka jika kes Covid-19 naik

Melaka kuat kuasa pelitup muka jika kes Covid-19 naik

PELANCONG yang bertandang ke Melaka diminta memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat-tempat tertutup dan tumpuan ramai. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak teragak-agak melaksanakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka sekiranya berlaku kenaikan kes Covid-19 di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat-tempat tertutup dan tumpuan ramai.

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius bilangan kes yang semakin bertambah di seluruh dunia.

“Sehubungan itu, kami memohon orang ramai sama ada rakyat Melaka mahupun pelancong untuk memakai pelitup muka terutama di tempat-tempat yang tertutup dan kawasan orang ramai.

“Kami akan memantau dalam tempoh dua minggu ini. Jika penularan kes meningkat naik, kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka.

“Sila dapatkan vaksin penggalak kepada sesiapa yang belum mengambilnya dan pastikan anda bukan penyebar kepada virus ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Peningkatan kes Covid-19 di China menggusarkan penduduk dunia selepas negara yang melaksanakan dasar sifar Covid-19 itu mula melonggarkan sekatan dan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini.

Malah, lonjakan kes itu juga dikhuatiri mencetuskan mutasi koronavirus baharu dan boleh menjadi gabungan strain atau sesuatu yang sama sekali berbeza.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 4,148 kes Covid-19 yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7 bersamaan lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di China masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbabit dicatatkan sehingga 31 Disember lalu, namun belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya