KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Pendidikan Islam harus dikaji semula supaya ia dapat memberi kefahaman yang jelas kepada para pelajar.
Memaklumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting supaya tiada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan hujah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Bagaimanapun, katanya lagi, beliau menyerahkan perkara itu kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam membuat ketetapan.
“Saya serahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai kurikulum mata pelajaran peradaban Islam melihat kepada cadangan dari sarjana-sarjana utama termasuk untuk dikaji semula supaya betul-betul memberi kefahaman lebih mendalam dengan mesej Islam, tentunya soal nilai, akhlak, kemanusiaan, universal jadi ini dirasakan ia perlu diberi perhatian.
“Buku ini sepatutnya menjadi autoriti merujuk kepada Quran, hadith, ulasan pemikir. Ini semua orang dalam tazkirah buat fatwa masing-masing. Bila tegur kata anti ulama. Tapi guru ugama itu buat kenyataan salah, itu mesti ditegur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei ‘Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, perkara asas dalam mata pelajaran Pendidikan Islam ini turut dilihat mampu mengubah kefahaman umat Islan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang hujah oleh mana-mana pihak meskipun tokoh parti politik mahupun para ulama’ yang ada.
“Kerana dia tokoh parti, ulama, semua kenyataan dia benar? Islam tidak pernah ajar begitu. Sebab itu Pendidikan Islam ini harus memberi kefahaman lebih mendalam, kupasan mesti dihujah dan jika perlu teguran, pembetulan ini dikatakan tradisi ilmu pelajaran secara kritis,” katanya. – UTUSAN