PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil keputusan mengimport telur ayam dari India kerana pengeluar dari negara itu dapat memenuhi segera keperluan bekalan dikehendaki Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu juga mendedahkan bahawa bekalan itu diperoleh daripada pengeluar sama yang membekalkan telur ayam bagi temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar tahun lalu.
“Kita buat keputusan untuk import dari negara itu kerana kita mahu buat cara segera dan kita pilih mana (pengeluar) yang memberi tawaran dengan cepat.
“Kalau kita mahu import cara biasa ia mungkin memakan masa kerana perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar.selepas majlis Amanat Menteri bersama warga MAFS, di sini hari ini.
Katanya, bekalan telur ayam import dari Tamil Nadu, India juga sudah mematuhi pelbagai spesifikasi dan syarat diperlukan, tambahan lagi ia sudah mendapat kepercayaan untuk dibekalkan pada temasya Piala Dunia 2022 itu.
Mohamad berkata, import telur ayam dari India sedang berjalan, namun, langkah itu tidak lama dan akan dihentikan jika situasi bekalan di pasaran tempatan sudah stabil.
Baru-baru ini, Mohamad bersama delegasi MAFS sempat meninjau proses pengeluaran telur ayam di Namakkal, Tamil Nadu, India bagi memastikan telur yang diimport itu bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Ladang pengeluaran telur di Namakkal itu terletak lapan jam perjalanan darat dari lapangan terbang Chennai, Tamil Nadu, selatan India.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember tahun lalu bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya. – UTUSAN.