Masalah alur pelayaran cetek, pengguna feri merosot 70 peratus

Masalah alur pelayaran cetek, perkhidmatan feri Kuala Perlis ke Langkawi terjejas, pengguna feri merosot 70 peratus

langkawi
MASALAH alur pelayaran cetek menyebabkan perkhidmatan feri sering tergendala di terminal Feri Kuala Perlis, Perlis. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perkhidmatan feri yang tidak sebanyak dahulu ber­ikutan masalah alur pelayaran cetek menyebabkan pengunjung menggunakannya di terminal Feri Kuala Perlis, di sini untuk ke Pulau Langkawi, Kedah merosot sehingga 70 peratus.

Walaupun ada pihak menyatakan pelancong tempatan tetap ke pulau pelancongan itu, jumlahnya tidak sama seperti ketika feri disediakan setiap jam bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam setiap hari seperti sebelum ini.

Berikutan masalah tersebut, perkhidmatan feri di terminal tersebut pernah beberapa kali tergendala sekali gus memberi kesan terhadap sektor pelancongan.

Jika masalah tersebut berlarutan, ia dijangka turut memberi kesan kepada pengunjung untuk ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri menjelang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) pada Mei ini.

Malah, tahun ini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan kedatangan kira-kira 3.2 juta pelancong ke Langkawi dengan sasaran itu diyakini dapat dicapai susulan penganjuran acara LIMA ‘23.

Meskipun beberapa usaha dilaksanakan bagi mengatasi isu tersebut, antaranya dengan me­lakukan kerja-kerja pengerukan di alur pelayaran dan lembangan terminal feri tersebut ia belum dapat menyelesaikan masalah alur pelayaran cetek tersebut dalam tempoh jangka panjang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha syarikat pelancongan, Faizul Abidin, 40, berkata, masalah itu menyebabkan jumlah kehadiran pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan feri di terminal berkenaan berkurangan sekitar 70 peratus.

“Apabila berlakunya masalahan ini, feri tidak dapat berlabuh di terminal dan menyebabkan penumpang yang membeli tiket terkandas.

“Oleh kerana permasalahan yang berulang ini, pengguna sudah bosan dan kurang menggunakan feri sebagai medium pengangkutan mereka bagi mengelakkan percutian terganggu,” katanya.

Menurut Faizul, buat masa ini, perkhidmatan feri penumpang di terminal itu menyediakan kekerapan perjalanan sebanyak empat ke lima kali sehari bergantung kepada situasi paras air.

Katanya, permasalahan yang berlaku itu juga telah membuatkan pelancong tempatan lebih memilih bercuti ke Thailand berbanding berkunjung ke Pulau Langkawi.

“Memang usaha pengerukan ada dijalankan bagi mengatasi isu ini namun apa yang menjadi persoalan kami adalah mengapa mereka melakukan kerja-kerja di tengah laut dan bukannya berhampiran terminal itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Shaharim Senapi berkata, masalah air cetek itu telah berlaku sejak lebih 10 tahun lalu malah turut menjejaskan nelayan bot besar berlabuh.

Katanya, langkah penyelesai­an secara holistik perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkannya berterusan.

Kerja pengerukan bakal atasi masalah cetek, feri terkandas

SHAHRIM Senapi menunjukkan keadaan alur pelayaran yang cetek di lembangan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis yang menyebabkan perkhidmatan itu sering kali tergendala.

Isu feri terkandas dijangka diatasi tidak lama lagi selepas kerja-kerja pengerukan alur pelayaran dan lemba­ngan Terminal Kuala Perlis selesai dilaksanakan.
Kerja-kerja tersebut dijadual selesai pada Februari atau Mac depan sebagai salah satu alternatif bagi mengatasi isu perairan cetek dan menyebabkan feri terkandas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, Jabatan Laut Malaysia (JLM) juga akan melakukan kaji selidik terlebih dahulu selepas kerja pengerukan itu selesai bagi memastikan kedalamannya bersesuaian.

BAHARIN BAHAROM“JLM akan mengeluarkan satu surat bagi menyatakan alur pelayaran di Terminal Kuala Perlis selamat untuk dimasuki dengan paras air satu meter ke atas.

“Dan selepas itu, kita mungkin akan dapat kembali beropera­si dengan kekerapan seperti biasa bagi memenuhi permintaan pelancong” katanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata, isu feri terkandas di­sebabkan masalah cetek itu semakin meruncing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana perkhidmatan itu tidak dapat beroperasi disebabkan oleh penguatkuasaan larangan pergerakan.

Katanya, apabila feri tidak beroperasi, mendapan selut dan tanah dari Pulau Ketam, Kuala Perlis telah dibawa oleh arus bot nelayan dan terkumpul sekitar kawasan terminal tersebut lalu menyebabkan masalah alur pelayaran cetek itu berlarutan.

“Masalah alur pelayaran cetek ini juga berlaku tidak menentu dan feri kebiasaan tidak dapat berlabuh sekiranya air berada di bawah paras 1.6 meter,” katanya.

Sementara itu, Baharin berkata, buat masa ini, pihak operator menyediakan sekitar lima trip perjalanan dari Terminal Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada setiap hari bagi memudahkan pengunjung.

Tambahnya, pihak konsortium juga telah memulakan perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi sehingga pukul 8 malam pada hari-hari tertentu mengikut keperluan

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Shaharim Senapi berkata, masalah air cetek itu telah berlaku sejak lebih 10 tahun lalu malah turut menjejaskan nelayan bot besar berlabuh..- UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya