SHAH ALAM: Negara-negara Islam diseru mengecam Sweden yang mencetuskan protes Islamofobia apabila ahli politik parti penyokong kerajaannya, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dan menyerang semalam.
Malah, Kerajaan Malaysia juga diseru mengutuk tindakan tersebut dengan memanggil kedutaan Sweden di negara ini.
Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, beliau mengutuk kebebasan bersuara yang dilakukan negara Eropah itu yang bersifat menghina agama, menyatakan kebencian dan Islamofobia semata-mata.
“Kami turut menyokong Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu yang menyuarakan kemarahan terhadap kegagalan pihak berkuasa Sweden mengharamkan protes itu. Sungguh mengerikan Sweden sedang menyebar kebencian dan ekstremisme.
“Dasar kebenaran terhadap kempen itu mencerminkan toleransi Sweden di bawah alasan kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengeluarkan kecaman keras dan memberi amaran kepada negara berkenaan bahawa masyarakat antarabangsa Islam tidak akan berdiam diri.
Semalam, Paludan dilapor menyertai bantahan di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk sejumlah besar wartawan apabila membakar al-Quran dengan pemetik api selepas mengecam dan menyerang Islam dan Imigresen di sana.
Lebih mengecewakan, akhbar The Washington Post melaporkan, ahli politik itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu.
Dalam pada itu, Mohd. Azmi turut menyokong tindakan Kerajaan Turkiye yang lantas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan negara itu untuk mengatasi bantahan negara itu terhadap keahliannya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Ini adalah tindakan jenayah kebencian yang dilakukan oleh Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line. Nampaknya mereka jelas menggalakkan jenayah kebencian dan Islamofobia. Ini tidak beradab dan biadab.
“April tahun lalu, pengumuman Paludan tentang ‘pelancongan’ membakar al-Quran semasa Ramadan mencetuskan rusuhan di seluruh Sweden. Negara itu tidak mengambil langkah yang perlu untuk menghentikan kempen itu,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia. – UTUSAN