BESUT: Sebuah keluarga mangsa banjir mendakwa diarah keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La di sini, semalam walaupun rumah sewa yang didiami sebelum ini musnah dalam bencana tersebut pada 18 Disember lalu.
Norul Shahida Mohamad, 38, berkata, dia sepatutnya diberi masa beberapa hari lagi tinggal di PPS itu sebelum mendapat rumah sewa baharu yang sesuai selepas rumah sewa yang didiami sejak empat tahun lalu tidak dapat diduduki lagi.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia dan suami, Sairin Tuah, 37, serta tiga anak, Ahmad Ikhwan Haziq, 11; Nur Llayana Elisya, 9, dan Ahmad Aakif Haikal, 4, terpaksa menyewa sementara di sebuah rumah penduduk yang turut mengalami kerosakan di kampung yang sama.
Namun katanya, rumah tersebut rosak di bahagian atap, pintu bilik air dan saluran kumbahan tetapi masih boleh dibaiki.
“Anak pemilik rumah itu dan suami saya membaiki kerosakan tersebut untuk membolehkan keluarga saya tinggal di rumah berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norul Shahida memberitahu, keluarganya kecewa apabila wakil penduduk di kampung itu supaya mengosongkan PPS tersebut walaupun mereka masih tidak mempunyai tempat berteduh.
Katanya, wakil penduduk terbabit sepatutnya memberi peluang kepada keluarganya untuk mendapatkan rumah lain terlebih dahulu sebelum diarah keluar dari PPS itu.
Tambahnya, kebanyakan pakaian dan peralatan di dalam rumahnya rosak.
Sebanyak sembilan rumah penduduk di kampung itu dilaporkan musnah dan enam daripadanya dihanyutkan arus deras banjir.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Norul Shahida boleh hubungi di talian, 011-21008807. – UTUSAN