Malaysia Madani hala tuju negara

Malaysia Madani hala tuju negara

Anwar Ibrahim menandatangani autograf selepas melancarkan buku 'Membangun Negara Madani' pada Majlis Amanat PM Membangun Malaysia (MADANI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Malaysia Madani, konsep kehidupan dan pengurusan yang mula ditonjolkan Perdana Menteri sejak 1970-an.

Ia adalah satu pendekatan yang akan menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan pada tahun ini dan mendatang.

Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, dirangkul peradaban yang dicitakan de­ngan ditakrifkan dengan sebuah konsep mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.

Perdana Menteri sebelum ini juga memperkenalkan konsep pentadbiran masing-masing. Se­bagai contoh, Datuk Seri Ismail Yaakob mempromosi Keluarga Malaysia; Tan Sri Muh­yiddin Yassin – Kerajaan Prihatin; Datuk Seri Najib Tun Razak – 1 Malaysia dan Tun Abdullah Ahmad Badawi – Islam Hadhari.

Menurut Anwar, dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal.

“Pertumbuhan dan pengembangan perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas yakni ekonomi manusiawi mengutamakan keperluan rakyat.

“Khususnya, yang miskin dan terpinggir, yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal, yang membiak ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup,” katanya dalam amanat Membangun Malaysia Madani, di sini semalam.

Kerangka dasar Madani adalah falsafah pembangunan yang holistik dan menyeluruh berpandukan keprihatinan etika dan sosial serta berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan.

Ia bermakna mengurus eko­nomi dengan mengambil kira faktor dimensi manusiawi, tidak ada kemanusiaan insan kalau memilih untuk mencemuh sesama manusia berdasarkan warna kulit atau daerah ke­rana madani itu menuntut nilai dan etika serta memuliakan dan mengangkat martabat insan.

Untuk mendepani 2023, Anwar percaya tema ini akan kekal relevan dan direncanakan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara.

“Saya tidak mahu mengungkit pengalaman lalu. Ada kekuatan dan kelemahan tertentu, mana sumbangan dan kekuatan yang baik kita manfaatkan tanpa mengira dari blok, parti, fahaman mana tapi semua kelemahan dahulu mesti dihentikan.

“Kelemahan terbesar adalah cara mengurus, menggunakan ruang untuk mengkayakan kelompok kecil. Saya yakin sekiranya kita dapat urus tadbir baik dan dapat mendepani kemelut ekonomi mendatang dengan jauh lebih yakin,” katanya.

Anwar juga tidak berhajat mengemukakan wawasan baharu ataupun membina tugu baharu, sebaliknya berhasrat mengajak rakan pimpinan untuk memikul amanah besar dan tanggungjawab mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai dan akhlak, tatakelola adil dan berkesan dalam sejarah.

Jelas beliau, istilah Madani ini mungkin dianggap baharu tetapi sudah disebut lama oleh pemikir dan kini akan diper­kenalkan dan dihebahkan dengan penekanan soal keyakinan dan kemanusiaan.

“Apabila negara itu dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku dan rasuah, maka runtuh nilainya, justeru perlu ada kesedaran bersama untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa dari semua kaum dan agama di negara ini.

“Ada nilai-nilai murni yang harus dihidupkan dan dikembangkan semula, sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi dan teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan tanpa me­ninggalkan nilai dan kemanusiaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, fahaman kabilah menyebabkan negara mudah kompromi dengan rasuah dan penyelewengan, penindasan, membangunkan bandar besar tanpa memikirkan nasib rakyat yang terhimpit di bawahnya.

Jelasnya, barisan kepimpinan semua peringkat dan seluruh penjawat awam perlu memanfaatkan pengalaman pasca Co­vid-19 untuk belajar daripada kelemahan lalu dan mengemukakan tindakan bersesuaian de­ngan tuntutan baharu.

Pada masa sama, kata beliau, negara harus menamatkan ukuran kemajuan pertumbuhan ekonomi dengan keghairahan menyebut angka semata-mata tanpa memberi penekanan kepada kesan dan akibat kepada rakyat seluruhnya.

Beliau berkata, rakyat yang tergolong dalam kategori miskin tegar, bergelut dengan permasalahan hidup atau anak muda yang menganggur tidak akan terpukau dengan angka bahawa kadar pengangguran menurun atau inflasi hanya pada kadar 4 peratus, kerana ia langsung tidak membantu dan tidak menjamin masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya