Malaysia kutuk tindakan ekstremis Belanda bakar al-Quran

Malaysia kutuk tindakan ekstremis Belanda bakar al-Quran

SEORANG warga emas memang kad tertera tulisan Jangan Hina Agama Islam pada bantahan aman tindakan membakar Al-Quran.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji seorang tokoh Belanda, Edwin Vagensveld membakar helaian al-Quran di hadapan Parlimen negara itu pada Ahad lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, Malaysia kecewa melihat perlakuan Islamofobia yang berulang hanya dalam masa sehari selepas kes di Sweden meskipun mendapat kecaman komuniti antarabangsa.

Wagensveld yang juga pemimpin pergerakan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat itu bertindak membakar al-Quran di The Hague dan turut disiar melalui laman sosial.

Dia pada mulanya cuma diberi kebenaran oleh pihak berkuasa untuk mengoyak al-Quran dengan syarat tidak dibakar kitab suci tersebut namun didapati mengingkari arahan itu.

Aksi berkenaan dilaporkan selang sehari selepas tokoh politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Besar Turkiye di Stockholm.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa supaya sifat taasub dan juga perbuatan jenayah yang dilakukan individu terhadap imej Islam mesti dihentikan segera.

“Malaysia turut mengulangi pendirian bahawa perkauman dan sebarang penghinaan terhadap kitab suci tanpa kira agama adalah tidak boleh diterima, sama sekali,” tegasnya.

Malahan ujar Wisma Putra, Malaysia amat percaya hak kebebasan bersuara adalah juga bersama dengan tanggungjawab dengan prinsip tersebut pun tidak boleh disalah guna

Justeru, Malaysia menggesa semua pihak untuk mengambil langkah bagi menggalakkan dialog, persefahaman dan semangat hidup bersama secara aman dalam masyarakat.

Pada masa sama, Malaysia menyeru Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia segera menangani isu Islamofobia.

Setiap pihak kata Wisma Putra, perlu mencari penyelesaian terbaik bagi mempromosikan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama di seluruh dunia.

Usaha itu sejajar resolusi PBB pada tahun lalu telah mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia yang disokong semua 57 negara anggota OIC.

Tarikh itu dipilih sempena memperingati insiden serangan berdarah tragik ke atas jemaah Muslim semasa solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 lalu.

Peristiwa yang menggemparkan masyarakat sejagat itu telah mengakibatkan seramai 51 orang mati syahid manakala 40 orang yang lain cedera parah termasuk warga Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya