MAIS tidak iktiraf pakej nikah luar negara, Thailand - Utusan Malaysia

MAIS tidak iktiraf pakej nikah luar negara, Thailand

Nikah Thailand
ABDUL AZIZ Mohd. Yusof (tengah) menunjukkan replika cek sumbangan mangsa banjir itu di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak sesekali mengiktiraf pihak yang membawa pasangan tempatan nikah di luar negara termasuk Thailand biarpun pernikahan itu sah di sisi Islam

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan tiada sebarang jalinan kerjasama dilakukan dengan pihak yang menawarkan pakej pernikahan seumpama itu dan pengiktirafan tidak diberikan kepada pasangan yang gagal mendaftar dan perlu membayar denda kepada mahkamah.

Menurutnya, MAIS menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pendaftar dan jurunikah mencukupi di setiap daerah negeri ini.

“Keadaan itu menunjukkan bahawa tiada sebarang larangan kepada mana-mana pasangan Islam untuk bernikah menerusi prosedur yang ditetapkan.

“Namun, masih ada pasangan mahu bernikah di luar negara dan kita tidak pernah mengiktirafnya termasuk pihak yang menawarkan pakej itu,” katanya selepas melancarkan misi bantuan mangsa banjir Kelantan dan Terengganu di Bangunan Sultan Idris Shah, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tular poster pakej pernikahan di Thailand bermula serendah RM2,000 termasuk bayaran kepada majlis agama, pengangkutan dan makan tengah hari bagi setiap pasangan.

Pakej itu meliputi pengurusan selama sehari ke negara jiran berkenaan termasuk nikah di Narathiwat dan terus ke Songkhla bagi surat sokongan konsul.

Isu berkenaan juga dikaitkan dengan pergolakan rumah tangga selebriti terkenal, Syamsul Yusof yang mengakui bernikah buat kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, kelmarin.

Jelas Abdul Aziz, pasangan yang bernikah di luar negara tidak dapat mengelak untuk mendaftarkan pernikahan dengan Jabatan Agama Islam malah perlu membayar denda.

“Kita telah mempunyai peraturan dan undang-undang sedia ada yang tidak mengiktiraf perkara seumpama itu. Kenapa perlu membayar denda sedangkan kemudahan sudah disediakan sepenuhnya pihak bertanggungjawab untuk proses pernikahan yang sah,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan itu berpunca masalah peribadi atau rumahtangga namun ia sewajarnya perlu dielakkan.

“Ini antaranya kerana bakal timbul masalah perceraian dan pembahagian harta kepada waris pasangan yang gagal mendaftar kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, misi berkenaan meliputi sumbangan berjumlah RM200,000 termasuk wang tunai dan pek makanan asas kepada mangsa banjir di dua negeri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya