KUALA SELANGOR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kesal dengan tindakan seorang asnaf didapati meninggalkan sebuah rumah sewa di sekitar Tanjong Karang di sini, dalam keadaan yang amat kotor dan rosak.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terkesan dengan perkara itu yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Tindakan seumpama itu dianggap menganiaya pemilik rumah sewa itu yang turut memberi kesan kepada asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa depan.
“Justeru, LZS mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan itu supaya amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa dihuni mereka,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya menyarankan pemilik rumah itu membuat aduan rasmi kepada LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah itu berikutan penyewa tidak lagi menetap di situ.
Dalam pada itu, Norajun Ainun berkata, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah dari LZS.
“Bantuan bulanan itu disalurkan terus kepada akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar sebuah rumah sewa dipercayai milik LZS yang ditinggalkan penyewa dalam keadaan kotor dan tidak terurus.
Hantaran itu kemudian mendapat kecaman daripada ramai pihak berikutan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan penyewa terbabit. – UTUSAN