SHAH ALAM: Dalam tempoh empat jam dan 30 minit, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk stesen pam air mentah Jenderam Hilir, kembali beroperasi pukul 11.30 malam tadi.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 221 kawasan melibatkan Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat dilaporkan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, bagaimanapun sumber itu kembali diagihkan mulai pukul 2 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dalam kenyataannya berkata, bekalan akan kembali pulih sepenuhnya pada pukul 8 malam nanti.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, pencemaran bau yang dikesan adalah rentetan daripada kemalangan lori pembawa pati minyak wangi dekat Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu.
Menurutnya, bagaimanapun pencemaran yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih di henti tugas sebanyak dua kali itu berjaya diatasi pada petang semalam.
“Bacaan di muka sauk LRA Semenyih pukul 11 malam mencatat sifar TON setelah bacaan diambil beberapa kali, dengan itu pencemaran dapat diatasi dan operasi LRA diaktifkan semula,” jelasnya.
Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa pencemaran pati minyak wangi akibat kemalangan di Lebuhraya Elite di Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu.
Namun, aliran yang tercemar dialir (flush) dalam tempoh tiga hingga ke empat jam dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit. Bacaan direkodkan pada pukul 8.45 malam mencatat 1 TON.
Sebagai langkah berjaga-jaga, menghenti tugas sementara loji tersebut pada pukul 7 malam tadi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Lembah Klang akan berdepan ancaman pencemaran dan gangguan bekalan air berterusan berikutan pembangunan wilayah itu tertumpu di bahagian hulu lembangan Sungai Langat dan Sungai Selangor sementara LRA-LRA utama terletak di hilir sungai. – UTUSAN