SEPANG: Dua cedera apabila sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek merempuh enam kenderaan di Jalan Baru Dengkil – Kota Warisan di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, lori dipandu lelaki berumur 44 tahun itu dari arah Kota Warisan ke Tanjung 12, Jalan Banting Baru dikatakan tidak sempat berhenti lalu melanggar kesemua kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, rempuhan menyebabkan enam kenderaan berkenaan turut mengalami kerosakan.
Beliau berkata, akibat rempuhan itu, dua individu dipercayai pemandu dua kenderaan lain mengalami kecederaan ringan dan mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan kejadian masih dijalankan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau pada masa sama mahu orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN