Lelaki warga emas maut kebakaran enam rumah - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut kebakaran enam rumah

KEADAAN rumah yang terbakar dalam kejadian di Jalan Bagan Ikan, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung manakala cucu perempuannya cedera dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Bagan Ikan di sini hari ini.

Mangsa, Ong Chok Seng, 82, ditemukan maut setelah terperangkap di dalam bilik di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Asmahisham Ab. Aziz berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian tersebut selepas menerima maklumat pada pukul 6.42 pagi.

Katanya, kejadian kebakaran melibatkan enam buah rumah kelas C yang terbakar hampir 90 peratus selain dua buah kereta dan sebuah motosikal.

“Anggota bomba segera melakukan operasi pemadaman sebelum menemui seorang lelaki warga emas rentung di dalam bilik.

“Cucu perempuan mangsa berusia 24 tahun terselamat namun mengalami kecederaan di lutut dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian, hanya mangsa dan cucunya berada di rumah berkenaan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 8.06 pagi. Pihak forensik bomba kini menjalankan siasatan berhubung punca-punca kebakaran tersebut.

“Operasi yang tamat pada pukul 1.21 petang itu dibantu anggota dari BBP Teluk Intan selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang dan PBS Bagan Datuk,” katanya.

Dalam pada itu, Asmahisham menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas.

“Faktor cuaca yang kering dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak sekiranya tidak dikawal selain menyukarkan kerja-kerja mengawal dan memadam api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya