SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut akibat lemas dalam kereta dipandunya yang terbalik di sebuah parit di Jalan Sabak Bernam-Sungai Besar berdekatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku selepas mangsa berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Preve terlibat kemalangan dengan sebuah Proton Saga.
Pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an yang menaiki Saga dan turut tercampak ke dalam parit itu bagaimanapun terselamat manakala mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sepasukan lima anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.01 petang.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kereta termasuk satu yang terbalik itu berada dalam parit sedalam satu meter. Tiga mangsa termasuk sepasang suami isteri sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, kesemua mangsa dihantar ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.
“Pemandu Preve disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas terperangkap dalam kereta itu. Dua mangsa lain tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi urusan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan dan selaman di sekitar lokasi kejadian namun tidak menemui mangsa lain. – UTUSAN