KOTA BHARU: Seorang lelaki berketurunan Siam ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah restoran di Jalan Sri Cemerlang, di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 31 tahun itu ditemukan pada pukul 7.45 malam sebelum orang awam menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, sejurus selepas tiba di lokasi pihaknya mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan tergantung dengan wayar kabel di bahagian lehernya.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis mendapati tiada kesan kecederaan pada bahagian tubuh badan kecuali jerutan di leher.
“Polis turut mendapati semua barang milik mangsa ada bersamanya ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian disebabkan oleh kekurangan oksigen. – UTUSAN