Lelaki didenda RM222,000 rasuah laporan prestasi kerja - Utusan Malaysia

Lelaki didenda RM222,000 rasuah laporan prestasi kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan didenda RM222,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan rasuah berkaitan laporan prestasi kerja dua syarikat antara 2017 hingga 2019.

Pertuduhan melibatkan suapan berjumlah RM225,700 itu termasuk penawaran komisyen 50 sen per meter kiub setiap bulan daripada seorang individu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh, Chua Shiou Meng, 51, mengaku bersalah atas empat pertuduhan dan fakta kes dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa ditawar dan diberikan suapan berjumlah RM10,000 dan RM140,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja kurang baik dan menyebabkan kontrak syarikat individu itu dibatalkan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Shiou Meng didakwa ditawar dan diberikan suapan RM75,700 serta komisyen 50 sen meter per kiub daripada dua lagi individu lain bagi melakukan tindakan sama di syarikat berasingan.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan berkenaan di sebuah bank dan dua restoran di sekitar Puchong dan Bukit Jalil antara Januari 2017 hingga Januari 2019.

Justeru, Shiou Meng dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Rozilah dalam penghakimannya menjelaskan, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah itu dan menasihatkan tertuduh insaf serta tidak mengulanginya.

“Tertuduh disabitkan bersalah dan didenda RM20,000 bagi pertuduhan pertama diikuti RM200,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan berikutnya. Mahkamah turut memerintahkan tambahan penjara antara dua hingga lapan bulan jika gagal membayar denda itu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Peguam N. Sivananthan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan kerana anak guamnya telah insaf atas perbuatannya.

“Anak guam saya telah dipecat dengan notis 24 jam selepas ditangkap sebelum ini. Selain itu, dia baru mendapat pekerjaan semula dengan syarikat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya