CYBERJAYA: Laporan penuh berhubung kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands baru-baru ini akan dilengkapkan dan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagaimanapun, laporan awal berhubung tragedi yang meragut 31 nyawa itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam di peringkat kementeriannya termasuk Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pada mesyuarat Kabinet semalam ada dibentangkan satu laporan awal daripada KPKT dan kementerian saya juga disediakan laporan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
“Pembentangan laporan itu adalah susulan pemintaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat sendiri laporan awal terlebih dahulu berhubung kejadian sebelum laporan penuh yang lebih lengkap disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Cyberview dan Roda Emas Industri Sdn. Bhd. mengenai pembangunan ekosistem Mobiliti Pintar di RekaScape@Cyberjaya di sini, hari ini.
Dalam tragedi awal pagi 16 Disember lalu, ia berlaku ketika 92 pengunjung termasuk 14 pekerja kebun sayur organik tersebut sedang tidur di tapak perkhemahan di kawasan berkenaan.
Kesemua 31 yang maut adalah pengunjung tapak perkhemahan termasuk 20 guru SJKC Mun Choong dan ahli keluarga mereka yang bercuti di tapak perkhemahan itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, laporan yang dibentangkan semalam adalah merangkumi siasatan yang dilakukan di peringkat awal kerana sebelum ini fokus diberikan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, langkah seterusnya selepas operasi SAR selesai ialah dengan menyediakan laporan teknikal merangkumi punca kejadian dan sebagainya.
“Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas yang diberikan Kabinet kerana ia masih di peringkat awal dan kita akan tunggu laporan penuh dalam masa terdekat ini untuk sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai MoU yang ditandatangani oleh Cyberview dan Roda Emas Industri Sdn. Bhd., Nik Nazmi menyifatkan ia sebagai langkah amat baik terutamanya dalam membentuk ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Jelasnya, penyediaan sebanyak 10,000 stesen pengecas EV disasarkan di seluruh negara menjelang 2050 dan ketika ini sudah lebih daripada 900 stesen pengecasan EV awam disediakan oleh beberapa operator pengecasan.
“Saya percaya masih banyak yang kita perlu lakukan untuk mencapai sasaran ini kerana jika tidak ia akan mengganggu perancangan besar lain seperti menjadikan Malaysia negara bebas karbon menjelang 2025 dan ia suatu impak yang amat besar,” ujar beliau. – UTUSAN