Lapan barangan bawah skim harga maksimum Tahun Baharu Cina

Lapan barangan bawah skim harga maksimum Tahun Baharu Cina

SALAHUDDIN Ayub (empat kanan) bersama Timbalannya, Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan senarai barangan di bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2023 yang dilancarkan di sebuah pasar raya di Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak lapan jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula 15 hingga 29 Januari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada peranan kementerian untuk meringankan beban rakyat terutama yang menyambut perayaan itu.

Katanya, skim tersebut menetapkan penurunan harga antara 25 hingga empat peratus daripada harga asal barang berkenaan.

“Sebanyak lapan jenis barangan akan diwartakan dalam skim ini iaitu ikan bawal putih yang berat antara 200 hingga 400 gram, udang putih (berat antara 41 hingga 60 ekor), bawang putih dan ubi kentang dari China, kobis bulat import (Indonesia dan China).

 “Selain itu ianya termasuk babi hidup iaitu kawalan di peringkat ladang, daging babi (perut) dan juga daging babi (daging dan lemak).  Sebagai contoh, bawal putih ini harga maksimum yang dicadangkan di peringkat runcit adalah RM42 sekilogram,” katanya pada Majlis Pengumuman SHMMP Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan kawalan harga itu bertujuan menstabilkan harga dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

“Misalnya, daging babi perut, harga kawalan di peringkat runcit adalah RM36 dan RM37.85 iaitu lima peratus lebih tinggi jika harganya tidak dikawal. Daging babi dan lemak pula harga di peringkat runcit adalah RM25 dan harga biasa RM26 iaitu empat peratus lebih tinggi.

“Jadi daripada lapan barang yang dikawal ini, kita berharap dapat memberi sedikit manfaat kepada pengguna khususnya kaum Tionghua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang masalah kekurangan bekalan telur di pasaran yang mengakibatkan kenaikan harga barang itu, katanya, isu tersebut dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“KPDN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam isu ini kerana masalah telur ini berpunca daripada isu bekalan yang dihadapi oleh penternak,” katanya.

Beliau menambah, masalah bekalan barang berkenaan juga masih terkawal dan hanya tertumpu di kawasan tertentu. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya