SHAH ALAM: Laluan motosikal dekat enam kawasan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ditutup secara berjadual bermula hari ini hingga 30 Januari bagi membolehkan kerja baik pulih permukaan jalan di lorong tersebut.
Menurut Eksekutif Kanan Jabatan Perhubungan Awam Kesas Sdn. Bhd., Khairani Mohamed Salleh, penutupan tersebut bagaimanapun akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna motosikal.
“Penutupan itu merangkumi laluan di arah Klang dan Kuala Lumpur. Di laluan arah Klang, laluan yang ditutup seperti dari persimpangan bertingkat Bukit Rimau, Jalan Kebun dan Bandar Tasik Puteri. Masing-masing ditutup pada 16 hingga 19 Januari.
“Sementara di arah Kuala Lumpur pula, laluan ditutup seperti dari persimpangan bertingkat Pandamaran ke Seafield yang melepasi persimpangan bertingkat lain seperti Bandar Tasik Puteri, Jalan Kebun, Bukit Rimau dan Hicomm. Ditutup pada 26,27, 28 dan 30 Januari,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya menunggang dengan berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda yang diletakkan di kawasan tersebut.
Tambahnya, untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi 03-5633 7188 atau melayari laman web Kesas. Selain itu pengguna juga boleh merujuk Facebook Lebuhraya Shah Alam atau Twitter @kesastrafik. – UTUSAN