KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif berjumlah RM1.26 juta.
M. Karthikesan, 43, didakwa memberikan dokumen palsu melalui individu berbeza bertujuan menuntut insentif bagi nilai berlainan di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya.
Nilai tuntutan bagi keenam-enam pertuduhan ialah RM31,260, RM285,720, RM221,680, RM115,720, RM72,200 dan RM535,680.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu selaku pemilik Fajaa Murudana Sdn. Bhd. didakwa menyerahkan Borang Pengesahan Pekerja kepada ejen Perkeso yang mengandungi butiran palsu atas nama syarikat tersebut.
Tindakan itu didakwa dengan niat memperdayakan Perkeso walhal 34 nama dalam senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak bekerja dengan syarikat berkenaan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 19 Mei 2021 dan 3 Ogos 2021 di dua tempat di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini dan di Presint 2 Putrajaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.
Beliau memaklumkan, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam Jumaat lalu atas pertuduhan berlainan dan dibebaskan dengan jaminan RM70,000 serta syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam T. Vijaya memohon jaminan dikurangkan atas alasan Karthikesan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, perniagaannya terjejas berikutan siasatan kes tersebut manakala anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.
Hakim Azura Alwi kemudian memerintahkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan agar melapor diri ke Pejabat SPRM berdekatan.
Ujar beliau, jika kedua-dua kes di Shah Alam dan di ibu negara tidak dibicara bersama dan kes di sana selesai dahulu, pasport perlu ditahan lanjut oleh mahkamah di sini.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 1 Mac ini bagi serahan dokumen.
Pada 14 Julai 2022, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
Kesemua individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif itu ditahan dalam Op Hire yang dilancarkan di seluruh negara. – UTUSAN